Thursday, September 13, 2012

Ucapan Penuh Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013 - 2025

Salam..

Kawan sebagai orang yang terlibat secar langsung proses pelaksanaan pendidikan negara mengambil berat tentang pelan awal ini...

Kawan sebolehnya akan detail berkenaan beberapa perkara yang kawan rasa boleh diperhalusi lagi.

Xpe.. Secara perlahan-lahan..


KEMAJUAN DAN KEJAYAAN

Sistem pendidikan di Malaysia telah menempa banyak kemajuan sepanjang lebih lima dekad yang lalu. Hasil daripada Laporan Razak (1956), kemudiannya Laporan Rahman Talib (1960), Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979), penggubalan Akta Pendidikan 1996, sehinggalah yang terakhir Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010), sistem pendidikan kita telah mencatat beberapa kejayaan yang membanggakan.

Enrolmen murid pada peringkat pendidikan rendah, termasuk di sekolah swasta, telah mencapai tahap hampir sejagat, iaitu 96 peratus (%) berbanding hanya 40% pada tahun 1950. Kadar enrolmen pada peringkat menengah rendah pula telah mencapai 91%, dan menengah atas 82%. Peningkatan yang signifikan dalam enrolmen disusuli oleh peningkatan dalam pencapaian murid. Kadar literasi remaja telah meningkat daripada 88% pada tahun 1990 kepada kadar hampir sejagat sebanyak 99% masa kini. Kadar literasi dewasa juga telah meningkat secara mendadak, iaitu daripada 52% semasa negara mencapai kemerdekaan kepada 93% pada tahun 2010. Kesemua pencapaian ini amat membanggakan kita.

Kerajaan juga telah memperuntukkan secara tekal sebanyak 16% daripada bajet negara setiap tahun untuk Kementerian Pelajaran. Pelaburan yang besar telah dibuat dalam latihan guru, emolumen dan pembinaan infrastruktur serta kemudahan asas pendidikan yang telah berhasil meningkatkan penyertaan murid pada peringkat pendidikan rendah dan menengah, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman. Hasilnya, jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar telah berkurangan. Dalam peperiksaan UPSR, jurang pencapaian murid bandar dan luar bandar telah berkurangan daripada 8% pada tahun 2005 kepada 4% pada tahun 2011.

Mutakhir ini, berkat usaha gigih warga pendidik dan kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara bagi sektor pendidikan, enrolmen murid prasekolah juga telah berjaya ditingkatkan daripada 67% pada tahun 2009 kepada 77% pada tahun 2011. Penguasaan Literasi dan Numerasi murid juga telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan. Berdasarkan keputusan ujian LINUS 2011, kadar literasi murid kohort Tahun1 telah meningkat daripada 87% pada tahun 2010, kepada 95% apabila mereka berada di Tahun 2 pada tahun 2011. Begitu juga dengan kadar numerasi murid kohort yang sama telah meningkat daripada 87% pada tahun 2010 kepada 97% pada tahun 2011.

Semua kejayaan ini adalah hasil komitmen dan usaha gigih para guru, ibu bapa, anggota masyarakat dan kerajaan untuk meningkatkan pencapaian murid di negara kita. Namun, di sebalik lakaran kejayaan ini, masih banyak lagi yang perlu kita capai. Ketika sistem pendidikan kita menempa beberapa kemajuan penting sepanjang lebih lima dekad yang lalu, sistem pendidikan di negara-negara lain juga telah bergerak pantas dalam perlumbaan untuk menjadi sistem yang terbaik di dunia.

Dalam persaingan global yang semakin sengit ini, negara kita perlu bergerak lebih pantas ke hadapan. Walau bagaimanapun, pentaksiran pada peringkat antarabangsa menunjukkan pencapaian murid kita dalam beberapa bidang penting seperti Bacaan, Matematik dan Sains masih rendah berbanding murid di negara-negara maju. Misalnya, daripada 74 buah negara yang mengambil bahagian dalam ujian Programme for International Student Assessment atau PISA 2009, murid Malaysia berada di tempat sepertiga terbawah bagi Bacaan, Matematik dan Sains.

Hal ini perlu diatasi segera sekiranya negara kita ingin mengorak langkah lebih pantas dalam perlumbaan menuju negara maju. Tidak ada jalan pintas untuk kita melakukannya. Tidak ada tongkat ajaib yang boleh menjelmakan hasil yang terbaik dalam sekelip mata. Sebaliknya, kita perlu akur dengan realiti semasa, jujur melakukan pembetulan dan mengambil langkah berani untuk melonjakkan prestasi pendidikan negara.

PENYEDIAAN PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN, 2013-2025

BERTITIK tolak daripada kesedaran ini, Kementerian Pelajaran telah memulakan usaha mengkaji semula sistem pendidikan negara pada bulan Oktober 2011. Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara telah dibentuk untuk mengumpul pandangan masyarakat umum mengenai langkah-langkah yang perlu diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan. Menerusi satu siri jelajah dialog pendidikan yang diadakan di seluruh negara, sebanyak 7,039 syor telah diterima daripada hampir 12,000 orang peserta yang mengambil bahagian. Kementerian juga telah menerima 156 memorandum daripada pelbagai pertubuhan dan individu. Selain itu, pandangan daripada Panel Penilai Bebas Malaysia dan Antarabangsa telah diperolehi dalam menyediakan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan. Kementerian juga telah mendapatkan input daripada kajian-kajian yang dilakukan oleh UNESCO, OECD, Bank Dunia dan Institusi-Institusi Pendidikan Tinggi Awam tempatan.

Hari ini, ketika kita masih lagi dalam semangat sambutan ulang tahun kemerderkaan negara yang ke-55, tercatat satu lagi peristiwa penting dalam lembaran sejarah negara kita. Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan yang akan memacu pendidikan negara ke arah pendidikan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa. Pelan ini tidak ubah seperti satu referendum bersejarah yang melambangkan cita-cita dan pengharapan rakyat terhadap sistem pendidikan negara.

MATLAMAT DAN PENDEKATAN

KEMENTERIAN Pelajaran akan mengorak langkah dalam menghasilkan suatu sistem pendidikan negara yang berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Di samping itu, pada peringkat murid-murid pula, pelan ini menyasarkan 6 ciri aspirasi utama iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian, serta identiti nasional.

Dalam merangka Pelan ini, 9 bidang keutamaan yang dikenal pasti hasil daripada Laporan Penilaian Pendidikan Negara telah diperhalusi. Sembilan perkara tersebut ialah:

* Pertama, memartabatkan profesion keguruan;

* Kedua, meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah;

* Ketiga, meningkatkan kualiti sekolah;

* Keempat, memantapkan kualiti kurikulum dan pentaksiran;

* Kelima, meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa;

* Keenam, mengukuhkan pelibatan ibu bapa, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam pendidikan;

* Ketujuh, meningkatkan kesediaan murid untuk merebut peluang dalam pendidikan tinggi dan pasaran kerja;

* Kelapan, memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber; dan

* Kesembilan, membina kemampuan serta keupayaan sistem penyampaian pendidikan.

Daripada keseluruhan 9 bidang keutamaan ini, Kementerian telah mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang diingini oleh seluruh rakyat Malaysia. Sebahagian daripada anjakan ini merupakan perubahan strategi dan hala tuju pendidikan, manakala anjakan yang lain merupakan perubahan operasi yang telah dan sedang dilaksanakan. Sama ada perubahan bersifat strategi atau operasi, semuanya menggambarkan perubahan amalan semasa.

11 ANJAKAN

ANJAKAN PERTAMA (1) ialah Menyediakan Kesamarataan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti Bertaraf Antarabangsa. Hakikatnya, hari ini, murid dikatakan telah berjaya menguasai ilmu apabila mereka berupaya menganalisa maklumat, berfikir secara kritis, mengaplikasi ilmu secara kreatif dan berkomunikasi dengan berkesan. Inilah ciri-ciri kemahiran berfikir aras tinggi yang telah pun dimiliki oleh murid di negara-negara maju.

Sehubungan dengan itu, Kementerian akan melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada tahun 2017. Kementerian juga akan menimbang pindaan kepada peraturan sedia ada untuk memberikan kelonggaran kepada sekolah mengamalkan jadual anjal selagi sekolah boleh menyampaikan hasil pembelajaran dan kandungan yang digariskan dalam kurikulum.

Seiring dengan pelaksanaan kurikulum baharu ini, kementerian akan mengkaji kemungkinan melaksanakan laluan pembelajaran pintas selain pendidikan arus perdana. Ini termasuklah membenarkan murid berpencapaian tinggi menamatkan pengajian sekolah menengah dalam masa empat tahun berbanding lima tahun sekarang, dan menamatkan sekolah rendah dalam masa lima tahun berbanding enam tahun.

Selanjutnya, peperiksaan dan pentaksiran kebangsaan akan dirombak untuk meningkatkan tumpuan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi, seiring dengan pelaksanaan kurikulum baharu. Sebagai contoh menjelang tahun 2016, peperiksaan UPSR akan mengandungi 80 peratus soalan berbentuk pemikiran aras tinggi.

Selain itu, tempoh pendidikan wajib juga akan dilanjutkan daripada 6 tahun sekarang kepada 11 tahun, dengan disokong oleh pelbagai inisiatif untuk mengekalkan murid dalam sistem pendidikan, termasuk memperluaskan laluan pendidikan dan latihan teknik dan vokasional.

Untuk menjamin akses pendidikan berkualiti dan bertaraf antarabangsa kepada semua murid, kerajaan akan meningkatkan pelaburan bagi sumber fizikal dan pengajaran kepada murid dengan keperluan khusus. Murid Orang Asli dan kumpulan minoriti, serta murid kurang upaya fizikal dan pembelajaran, akan menerima bantuan tambahan supaya mereka juga menikmati peluang yang sama seperti murid lain.

Dari segi penguasaan bahasa, Kementerian akan melaksanakan AJAKAN YANG KEDUA (2), iaitu memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan ini, Kementerian akan memperluas program LINUS supaya meliputi literasi Bahasa Inggeris. Kementerian juga akan meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris guru dengan memastikan semua 70,000 orang guru bahasa Inggeris lulus Cambridge Placement Test (CPT) dalam tempoh dua tahun.

Guru yang tidak mencapai standard yang ditetapkan akan mengikuti latihan intensif untuk meningkatkan kemahiran. Di samping itu, murid akan diberi pendedahan yang lebih meluas terhadap bahasa Inggeris dengan memperkenalkan modul Sastera Inggeris yang akan diwajibkan kepada murid sekolah menengah.

Bagi memantapkan penguasaan bahasa Malaysia di semua jenis sekolah, kementerian akan memperkenalkan kurikulum Bahasa Malaysia yang standard pada peringkat rendah, merangkumi sekolah jenis kebangsaan. Dengan pelaksanaan kurikulum standard ini, Kelas Peralihan di sekolah menengah kebangsan akan dimansuhkan mulai tahun 2017. Selain itu, Kementerian juga akan menggalakkan setiap murid mempelajari bahasa tambahan seperti bahasa Cina, bahasa Tamil atau bahasa Arab serta bahasa ibunda atau bahasa antarabangsa yang lain.

Seterusnya, Kementerian akan melaksanakan ANJAKAN yang ketiga (3), iaitu melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai. Dalam mengharungi dunia yang semakin mencabar hari ini, anak-anak kita perlu memiliki nilai-nilai murni sejagat yang selaras dengan tuntutan moral, etika dan agama. Pada masa yang sama, sebagai warganegara, anak-anak kita juga perlu sentiasa dipupuk dengan semangat patriotisme untuk membina satu identiti nasional yang kukuh dan jitu.

Untuk itu, menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan ini, kementerian akan memperkukuhkan Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan elemen Sivik menjelang tahun 2017. Pedagogi untuk Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral juga disemak semula untuk melibatkan lebih banyak aktiviti main peranan (role play), simulasi, perbincangan, dan tugasan dalam kumpulan kecil. Selanjutnya, Kurikulum Pendidikan Islam akan melibatkan tumpuan terhadap pemahaman nilai teras dan falsafah Islam serta agama-agama yang lain.

Bagi murid bukan Islam pula, Pendidikan Moral akan mengandungi pemahaman tentang nilai teras semua agama utama di Malaysia. Kementerian juga akan mengkaji kemungkinan murid Islam dan bukan Islam berkongsi kelas yang sama apabila nilai-nilai sejagat diajar. Program-program yang sedia ada seperti Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) dan program 1Murid 1Sukan 1Kelab dan 1Badan Berunifom juga akan diteruskan.

Segala langkah yang akan diambil ini tidak akan berhasil tanpa sokongan dan dokongan guru-guru yang berkualiti. Sehubungan dengan itu, kementerian akan melakukan ANJAKAN YANG KEEMPAT (4), iaitu meningkatkan kualiti guru dan menjadikan profesion keguruan sebagai profesion pilihan. Anjakan ini adalah selari dengan pandangan sebahagian besar peserta Dialog Nasional Pendidikan Negara yang mahukan kualiti guru diberikan keutamaan.

Untuk itu, kementerian akan mengetatkan syarat kemasukan ke latihan perguruan dengan menyasarkan hanya 30% teratas daripada kelompok pelajar cemerlang menyertai profesion keguruan. Selain itu, bagi guru-guru yang sudah berada dalam sistem, kementerian akan mengukuhkan pembangunan kerjaya berterusan guru-guru dengan melaksanakan program pembangunan kerjaya secara in-situ di sekolah.

Untuk menyokong peningkatan prestasi guru, kementerian akan menyediakan laluan kerjaya guru berasaskan kompetensi dan prestasi. Dalam hal ini, guru berprestasi tinggi akan berpeluang menikmati kenaikan pangkat bermula daripada gred DG41 sehingga DG54 dalam tempoh yang lebih singkat, iaitu kurang daripada 25 tahun yang merupakan purata tempoh kenaikan pangkat secara time-based yang baru.

Selain itu, kementerian akan memastikan guru memberikan tumpuan kepada fungsi teras pengajaran dengan mengurangkan beban pentadbiran; memperluaskan laluan kerjaya guru untuk peranan kepimpinan, pakar pengajaran dan pakar bidang khusus; dan mempertimbangkan untuk mewujudkan satu skim pensijilan yang dikaitkan dengan penguasaan kecekapan guru.

Seterusnya, ANJAKAN YANG KELIMA (5) ialah memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan disetiap sekolah. Untuk itu, kKementerian akan memperkenalkan kriteria pemilihan pengetua dan guru besar berasaskan kompetensi, serta memperkukuhkan proses perancangan penggantian pengetua dan guru besar mulai tahun 2013. Selain itu, kementerian juga akan menempatkan pengetua atau guru besar cemerlang di sekolah-sekolah luar bandar dan di kawasan-kawasan miskin bandar bertujuan untuk meningkatkan prestasi sekolah.

Kementerian juga akan menyediakan sokongan yang secukupnya kepada pengetua dan guru besar untuk membantu mereka meningkatkan prestasi sekolah. Untuk itu, Kementerian akan melakukan ANJAKAN YANG KEENAM (6), iaitu mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan. Kementerian akan menempatkan Jurulatih Mata Pelajaran Khusus Program Penambahbaikan Sekolah (School Improvement Specialist Coaches atau SISC+) dan Jurulatih Pengetua Rakan Penambahbaikan Sekolah (School Improvement Partners atau SiPartners) secara sepenuh masa di Pejabat Pelajaran Daerah. Para jurulatih ini bertanggungjawab memberikan bimbingan secara terus kepada sekolah berprestasi rendah, iaitu sekolah yang berada dalam band 5, 6 dan 7. Satu projek rintis akan dilaksanakan di negeri Sabah dan Kedah mulai Januari 2013, manakala pelaksanaan seluruh negara akan bermula Januari 2014.

Selain itu, untuk meningkatkan autonomi sekolah, kementerian akan membenarkan fleksibiliti pengoperasian ke atas pengagihan bajet dan pelaksanaan kurikulum, dimulai dengan Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah Kluster, Sekolah Amanah dan sekolah-sekolah yang menunjukkan peningkatan prestasi yang ketara. Dari semasa ke semasa, lebih banyak sekolah akan diberikan hak membuat keputusan dan akauntabiliti berdasarkan prestasi yang ditunjukkan.

Dalam dunia yang pantas berkembang hari ini, teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT mempunyai potensi yang besar untuk memacu proses pembelajaran. Untuk itu, kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KETUJUH (7), iaitu memanfaatkan (ICT) bagi meningkatkan kualiti pembelajaran. Kementerian akan meningkatkan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui pelaksanaan 1BestariNet bagi kesemua 10,000 buah sekolah yang dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung tahun 2013. Dalam masa yang terdekat, semua murid akan mempunyai akses kepada rangkaian 4G di sekolah yang akan menyediakan landasan untuk pelaksanaan pembelajaran secara interaktif.

Seterusnya, kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KELAPAN (8), iaitu mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian Kementerian Pelajaran. Struktur organisasi kementerian akan disusun semula agar fungsi bahagian tidak bertindih. Lebih ramai tenaga kerja akan ditempatkan di PPD, iaitu agensi utama dalam rantaian penyampaian pendidikan. Dalam konteks ini, PPD bukan lagi semata-mata berperanan sebagai saluran penghubung antara kementerian dan sekolah, tetapi sebagai agensi penting yang terlibat secara langsung dalam memantau dan mengurus prestasi sekolah. Kementerian akan mengekalkan fungsinya dalam perancangan makro dan penggubalan dasar, manakala JPN akan memberikan tumpuan kepada penyelarasan dan penyampaian segala perancangan, serta menjadi penghubung yang penting antara penggubal dasar dan pelaksana di peringkat bawah.

Menyedari hakikat bahawa proses pembelajaran tidak hanya berlaku di sekolah, tetapi turut merangkumi aktiviti-aktiviti di luar sekolah yang melibatkan penyertaan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta, kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KESEMBILAN (9), iaitu memperluaskan jalinan kerjasama dengan ibu bapa, komuniti, dan sektor swasta. Kementerian akan memperluaskan capaian Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS), untuk membolehkan ibu bapa memantau kemajuan anak mereka di sekolah secara atas talian. Perhatian khusus akan diberikan kepada usaha membantu ibu bapa luar bandar dan miskin bandar meningkatkan prestasi anak masing-masing.

Selain itu, pihak kementerian akan mendapatkan maklum balas daripada setiap PIBG mengenai pelaksanaan kurikulum setempat dan kualiti guru mulai tahun 2016. Untuk menggalakkan pelibatan sektor swasta dan komuniti, kementerian akan menambah bilangan Sekolah Amanah kepada 500 buah menjelang tahun 2025 dengan turut melibatkan kumpulan alumni dan pertubuhan bukan kerajaan yang berpotensi sebagai penganjur.

Saban tahun, sekitar 16% daripada bajet negara diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran, dan jumlah ini merupakan yang terbesar antara semua kementerian. Bajet pendidikan di Malaysia, sebagai sebahagian daripada KDNK juga merupakan satu daripada yang tertinggi di dunia.

Untuk itu, kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KESEPULUH (10), iaitu memaksimumkan pulangan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan. Kementerian akan mengaitkan setiap program yang dilaksanakan dengan keberhasilan murid yang hendak dicapai dan merasionalisasi program berimpak rendah pada setiap tahun, seiring dengan anjakan pengurusan kewangan negara ke arah Bajet Berasaskan Keberhasilan (Outcome-Based Budgeting). Kementerian juga akan meningkatkan kecekapan dalam mengurus perbelanjaan dengan memberikan keutamaan kepada bidang paling kritikal seperti peningkatan kemahiran dan latihan guru.

ANJAKAN YANG KESEBELAS (11), iaitu yang terakhir, ialah meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam. Sepanjang pelaksanaan Pelan ini, semua pihak berkepentingan akan mempunyai akses yang tetap dan telus berkenaan tahap kemajuan setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh kementerian. Laporan Tahunan mengenai kemajuan sasaran dan inisiatif Pelan ini akan diterbitkan untuk tatapan umum mulai tahun 2013. Kementerian juga akan melaksanakan semakan komprehensif pada tahun 2015, 2020 dan 2025 bagi memastikan pelan ini sesuai dengan sifat dinamis dan perkembangan semasa sektor pendidikan.

Pelan Pembangunan Pendidikan ini adalah satu dokumen komprehensif yang bukan sahaja mengenal pasti bidang-bidang keutamaan dan meletakkan sasaran-sasaran yang hendak dicapai, malah turut menyenaraikan inisiatif-inisiatif penting yang akan dilaksanakan, melakar pelan tindakan yang jelas, dan menetapkan jangkamasa tertentu untuk mencapai setiap sasaran yang ditetapkan.

Misalnya, rakyat boleh menjangkakan dalam Gelombang Pertama pelaksanaan, iaitu dari tahun 2013 hingga 2015, akan berlaku peningkatan dalam kemahiran guru, kualiti pengajaran, keupayaan pegawai di peringkat negeri dan daerah, dan mutu kepimpinan sekolah.

Dalam Gelombang Kedua pula, iaitu dari tahun 2016 hingga 2020, akan berlaku perubahan struktur sistem pendidikan negara yang menyaksikan kesemua 410,00 guru dan 10,000 pengetua atau guru besar menikmati pakej kerjaya baharu; bahagian-bahagian di Kementerian distruktur semula untuk menjajarkan dengan peranan yang direncanakan menerusi Gelombang Pertama; dan kurikulum sekolah rendah dan menengah disemak semula untuk memastikan ia sejajar dengan perkembangan sosial dan ekonomi dunia hari ini.

Manakala dalam Gelombang Ketiga, iaitu dari tahun 2021 hingga 2025, semua sekolah, guru dan pengetua atau guru besar akan menunjukkan prestasi melebihi standard minimum. Kementerian akan memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan keluwesan operasi dan menganjakkan kebanyakan sekolah kepada model pengurusan berasaskan sekolah, serta membangunkan model kejayaan sekolah berdasarkan inovasi dalam pengajaran.

Keseluruhan anjakan ini akan memberikan impak yang besar kepada peningkatan kualiti pendidikan negara. Sekiranya kesemua 11 anjakan yang terkandung dalam Pelan ini dilaksanakan dengan cekap dan berkesan, untuk tempoh 13 tahun akan datang kita akan menyaksikan satu anjakan besar dalam sistem pendidikan negara, iaitu daripada pendidikan yang berfokuskan akses kepada pendidikan yang berfokuskan kualiti.

Untuk itu, sepanjang tempoh pelaksanaan, pegawai-pegawai di Kementerian, khususnya kumpulan pengurusan tertinggi, mempunyai KPI masing-masing yang dikaitkan dengan pencapaian setiap sasaran yang ditetapkan. KPI ini akan disebarkan ke peringkat bawah, dari Kementerian hingga ke sekolah, untuk memastikan matlamat yang hendak dicapai adalah tekal dan selari.

Selain itu, Kementerian akan mewujudkan Unit Penyampkian Pendidikan (Education Delivery Unit) untuk memacu pelaksanaan Pelan ini. Unit ini akan bertanggungjawab memantau kemajuan, menyelesaikan isu pelaksanaan, menguruskan komunikasi dengan pihak berkepentingan dan mengumpul maklumbalas secara berterusan. Pegawai yang ditempatkan di unit ini akan terdiri daripada mereka yang berbakat besar dan berpengalaman luas dalam mengurus transformasi, baik dalam sektor awam mahupun sektor swasta.

Dalam konteks ini, Pelan ini agak berbeza daripada laporan-laporan pendidikan yang terdahulu. Di samping menghuraikan hasrat dan sasaran yang hendak dicapai, Pelan ini lengkap dengan kaedah pelaksanaan, dan strategi penyampaian yang jelas.Kementerian dimaklumkan oleh Panel Penilai Bebas Antarabangsa bahawa kajian semula sistem pendidikan kita telah dilakukan dengan amat teliti, dan kualiti analisanya menepati standard antarabangsa.

Inilah julung-julung kali dalam sejarah negara kita, satu pelan pembangunan pendidikan untuk rakyat disediakan hasil rundingan awam secara telus dan terbuka. Sukacita saya maklumkan di sini bahawa sehingga kini, lebih 90 peratus pandangan yang dikemukakan oleh orang ramai menerusi siri jelajah Dialog Nasional Pendidikan Negara telah diambilkira dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan yang saya bentangkan pada hari ini.

Selepas ini, kementerian akan mengadakan Hari Terbuka untuk membolehkan masyarakat umum meneliti kandungan Pelan ini, mendapatkan penjelasan dan mengemukakan maklum balas lanjut kepada kerajaan. Saya percaya, apabila pelan ini dibentangkan kepada Kabinet kelak dan dimuktamadkan pada bulan Disember nanti, apa yang terhasil adalah satu pelan pendidikan yang sarat dengan cita-cita dan harapan rakyat. Inilah tanda kesungguhan Kerajaan Barisan Nasional bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk menzahirkan matlamat Dasar Transformasi Nasional yang berasaskan jangkaan dan pengharapan rakyat.