Wednesday, June 5, 2013

Jimatkah @ kedekutkah kita dalam bab makan!!!

Salam.

Hari ini kawn nak berkongsi cerita tentang perihal diri kita sendiri.. Maksud kongsi tu macam biasa ler kopi dan pastee ...dari forum c g ..

Berkenaan topik hari ini, selalu berkaitan dengan kelakuan kita seharian. Ia termasuklah dengan kawan sendiri yang berpaksi kewangan sepenuhnya. Maklumlah dari bidang itu. Harap kawan dan rakan pembaca boleh munasabah diri agar tidak tergolong dalam kategori itu.


Kali ini saya ingin berkongsi sifat-sifat manusia kedekut, bakhil, tangkai jering atau apa sahaja yang sesuai dengannya. Ini bukan bertujuan mengumpat mana-mana individu. .

Agar kita lebih kenal siapa kawan atau lawan. Dalam Islam sendiri ada dikhabarkan ciri-ciri orang munafik iaitu ada 3 ciri.Mengapa kita perlu bersifat kedekut yang keterlaluan?

Saya fokuskan di sini tentang sikap sebahagian manusia yang tidak mahu mengeluarkan duit sedikit pun dalam soal membayar makan. Situasinya bila kita keluar makan bersama-sama di kedai makan, kafe, kantin atau di mana sahaja tempat makan berbayar.


Terdapat orang yang tidak pernah mahu membayar untuk orang lain, kecuali untuk dirinya sahaja.Adalah difahami jika kita adalah murid sekolah, pelajar IPT atau yang belum ada gaji. ‘Go Dutch” atau tepuk amai-amai belalang kupu-kupu makan ramai-ramai bayar suku-suku”dapatlah diterima.

Kalau sudah bekerja, gaji pun ada, sampai bila nak minta orang belanja saja.Ciri-ciri orang kedekut nak belanja orang lain:

1.Sering makan di kantin sendirian.Tidak kisah jika tiada teman berbual.

2. Ambil makanan terus bayar supaya selamat dari membayar untuk orang lain. Kadang-kadang tauke suruh kita makan dulu baru bayar. Bagi si kedekut, cara ini mengundang risiko dia kena membayar untuk orang lain nanti.

3. Jika tak sempat bayar, makan cepat-cepat,segera minta diri dari rakan-rakan dan pergi bayar dahulu makanan sendiri tadi. Katalah ada hal atau nak pergi tandas.

4. Dalam keadaan sama-sama mengambil makanan, dan nanti mungkin duduk semeja bersama kawan-kawan, maka dia akan pilih makanan yang paling murah. Misalnya makan sepotong buah jambu sahaja, bagitahu kawan “sudah kenyang”. Sedangkan kawan-kawan makan nasi dan lauk pauk. Mesti kawan-kawan tak akan suruh dia bayar. Mereka tak sampai hati.

5. Dalam keadaan tak dapat ‘lari’ ketika makan bersama kawan-kawan, taktik lain akan dicari. Buat-buat balas SMS ketika tauke sedang mengira di meja makan. Atau bunyikan ringtone telefon bimbit dan bercakaplah sendirian seolah-olah sedang berbual dengan seseorang di telefon.Lebih baik lagi bila nampak tauke datang, bunyikan telefon segera dan pura-puralah bercakap jauh sedikit dari rakan-rakan. Takut orang dengar hal peribadi. Bila nampak kawan dah tolong bayarkan, bolehlah datang semula ke meja makan.

6. Dalam situasi di atas,boleh juga dicuba cara diamkan diri sahaja. Akan ada nanti kawan yang pemurah dan selalu jadi mangsa membayarkan. Ooh ya, makan dengan orang yang diketahui suka membayar juga merupakan satu tips untuk selamatkan wang sendiri!

7. Kadang-kadang ada lebih daripada seorang yang berebut nak membayar. Dalam situasi ini, si kedekut bolehlah berpura-pura mengeluarkan dompet dari poket belakang seluarnya. Tapi entah kenapa dompet itu macam terlekat pula; Mungkin tebal lalu tersangkut dan sukar ditarik. Dicuba juga ditarik-tarik namun hampir separuh sahaja keluar. Sedang mencuba-cuba itu, sudah ada kawan yang membayar. Alhamdulillah.... Dompet pun ditekan semula ke dalam poket. Sambil berkata.. ”laaa...., cepat sangat awak nak membayar, patutnya saya yang membayar kali ini..’

8. Situasi di atas boleh diubahsuai lagi. Kali ini dompet telah terkeluar. Dijenguk-jenguk, tak ada pula duit kecil. Semua RM100 dan RM50. Jangan tunjukkan sangat kepada orang sebelah, nanti dia nampak duit kecil sebenarnya ada.Kalau makan di kedai-kedai makan yang bersaiz kecil atau sederhana, tauke akan katakan tak ada wang tukar. Jangan bimbang, ada kawan yang akan tolong bayar dengan wang kecil nanti. Sekali lagi selamat.

9. Yang lebih ekstrim lagi (jangan tak percaya, Ini benar-benar berlaku!), jika dia makan di meja lain, belum bayar, makan pun dah tinggal separuh, maka dia akan pindah ke meja kita dengan pinggan dan gelas minumannya sekali. Lagaknya macam nak bersembang dengan kita. Tambahan pula dia nampak kita dah nak hampir ke fasa membayar. Dia pun tumpang semangkuk sambil mempraktikkan mana-mana taktik yang disebutkan tadi.

Peringatan kepada diri ini dan yang lain, janganlah amalkan sikap kedekut melampau. Terutama dalam soal asyik mengharapkan orang membayar. Tak pernah nak tolong bayar.

Tumpang makan mahu. Dalam soal berkawan dan bersosial, hal ini diperhatikan oleh kawan-kawan. Lagipun makanan yang kita makan akan menjadi darah daging, membina tubuh, hati, minda, jiwa seterusnya menjelmakan tabiat.Jadi biar dia berkat. Tidak hairanlah si kedekut ini sering ditinggalkan sendirian di tempat duduknya bila tiba waktu minum atau makan.

Kadang-kadang kawan-kawan akan keluar secara senyap-senyap sahaja.Adakah si kedekut akan dapat membeli kereta baru, rumah baru atau melancong dengan sikapnya yang enggan membayar atau membelanja orang lain itu? Mungkin juga, jika sikapnya itu dapat diamalkan dalam tempoh yang lama.

Jika kita bersedekah dengan ikhlas, Allah akan membalas dengan yang lebih baik lagi. Rezeki dan harta akan berganda. Sedekah juga menjadi bekal amalan untuk kita di alam barzah.Bukan bermaksud bila kita mengeluarkan wang untuk belanja rakan makan, itu membazir.

Kita pun tahu giliran kita. Jangan biarkan rakan pemurah menjadi perumah (mangsa). Kita sama-sama ada gaji. Sesetengahnya pula sudah mencecah 5 ribu ditambah elaun lagi hampir 7 ribu. Itu tak kira bisnes sampingan lagi. Nak kedekut apa lagi? Ya Allah jauhkanlah kami dari sifat riya’ dan sifat kedekut. Amiinnn...



Kawan dulu agak sama dengan teknik2 di atas bila tiba bab makan. Tetapi sejak berjumpa dengn orang berjaya (kayo ler), antara nasihat yang selalu diberikan adalah jangan kedekut mengeluarkan duit ke arah kebaikan. Derma, belanja kawan-kawan. Patutlah kawan tengok lagi kaya lagi tak lokek belanja.

Sejak itu, kawan semakin ke arah situ. Bukan harapkan balasan baik , sesungguhnya seperti kita selalu dengar, BUAT BAIK DIBALAS BAIK. Takpe ler . itu rezeki kita. amin

No comments: